PKNP perkenal Restoran Labu Sayong Signature

MOHAMMAD Zahir (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama pertandingan ‘Sayong Seni World of Wonders’, Mohammad Ammar Amirul Mohd Soubri (dua dari kanan) pada majlis Perasmian Restoran Labu Sayong Signature di Bandar Meru Raya, Ipoh, hari ini. Turut hadir Aminuddin (kiri) . – Foto Abdullah Yusof

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) merancang sistem francais Restoran Labu Sayong Signature yang menggabungkan rumah tradisional dan restoran untuk dikembangkan ke seluruh negara.

Restoran itu bukan sahaja menawarkan makanan tradisional kepada pengunjung, malah premisnya mengekalkan konsep ruang makan Rumah Kutai yang dibina mengikut seni bina kediaman masyarakat Melayu Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa, berkata kafe sedia ada yang sedang beroperasi, iaitu Rumah Kutai Anjung Beranda adalah kafe induk.

“Rumah kutai dibina teliti dengan kerjasama pakar dan pensyarah kanan Fakulti Binaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar binaannya mengikut reka bentuk asli rumah tradisi itu.

“Kita membuat keputusan untuk membina rumah kutai ini sebagai satu tarikan untuk rakyat negeri ini melihat sendiri rupa bentuk asli rumah berkenaan tanpa perlu masuk jauh ke kampung atau tepi sungai.

“Membina rumah Melayu sebagai bahan pameran sahaja tidak begitu produktif. Jadi kita wujudkan kafe ini (Restoran Labu Sayong Signature) dan ia akan terus dibina di serata negeri dan negara melalui sistem francais,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian kafe berkenaan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Aminuddin berkata, kafe rumah kutai dibina mengikut kesesuaian rumah lama di Perak dan barangan di dalamnya turut menggunakan aksesori lama pada zaman berkenaan.

“Kalau di sini, kita mengetengahkan Labu Sayong. Setiap francais nanti perlu mengekalkan nama dan ciri rumah kutai, tetapi masing-masing mempunyai penanda aras tersendiri,” katanya.

Kafe itu menawarkan pelbagai menu tradisional negeri mengikut cita rasa pengunjung, antaranya Tenggiri Kepai Udang Kertas, Ikan Purba Labu Sayong, Wadai Kepeng Gula Kabung dan Rusuk Kambing Tongkat Ali.

Katanya, kafe berkenaan dibuka jam 11 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan dilanjutkan sehingga jam 11 malam pada Jumaat hingga Ahad.

FOLLOW US ON
FAQ
FOLLOW US ON
FAQ